mutakhir

Buang 21,500 pil ekstasi dalam sungai

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS memburu dua lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah selepas menemui 21,500 biji pil disyaki ekstasi yang dibuang ke dalam Sungai Pulai, Johor Bahru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, dua lelaki lingkungan 40-an dikesan menaiki bot di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran bot RH31 dari Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor yang meronda di kawasan berkenaan, kedua-dua lelaki itu enggan berhenti apabila diarahkan sebelum memecut bot dinaiki dan dikejar selama kira-kira 15 minit.

Ketika melarikan diri seorang daripada suspek mencampak beg berwarna hitam ke dalam sungai.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, anggota polis kemudian bertindak mengambil beg berkenaan dan pemeriksaan mendapati ia mengandungi lima bungkusan dadah disyaki ekstasi berwarna merah jambu dan hijau.

“Kita cuba mengesan dua suspek itu, namun hanya menemui bot dinaiki yang tersadai di tebing sungai cetek. Kita percaya mereka melarikan diri ke dalam hutan bakau berhampiran.

“Usaha mengesan mereka dihentikan berikutan keadaan semakin gelap kerana hampir malam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.

Paul berkata, dadah yang dirampas dianggar bernilai RM645,000 dengan mengambil kira sebiji pil berharga RM30 dan anggaran lebih 21,000 orang boleh menggunakannya.

Katanya, hasil siasatan awal, bot berkenaan menuju ke arah negara jiran kerana jaraknya ke sempadan adalah 20 kilometer dengan Pulau Karimun, Indonesia, hanya terletak lima kilometer daripada sempadan.

“Dengan kelajuan bot 25 knot, ia boleh tiba di sempadan kurang satu jam, manakala dengan lebih 100 liter minyak bot yang ada ia boleh bergerak selama empat jam,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bot dinaiki suspek tidak berdaftar, usaha mengesan suspek akan dibuat menggunakan nombor enjin bot berkenaan.

Sementara itu, Dzulkhairi berkata, polis kini masih berusaha mengesan suspek di kawasan perkampungan sedia ada namun jaraknya dari lokasi kejadian adalah sekitar empat hingga enam kilometer.

“Di hutan tempat suspek melarikan diri, tiada perkampungan dan agak terpencil, yang ada hanya sebuah kelong usang yang ditinggalkan. “Ketika kejadian, polis turut menjejak suspek kira-kira 30 minit, namun terpaksa menghentikan usaha mencari kerana waktu semakin gelap,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam menangani kegiatan pengedaran dadah, operasi akan dibuat dari masa ke semasa.

“Kita tidak boleh mengatakan Johor sebagai tempat transit dalam aktiviti pengedaran dadah, memandangkan negeri lain juga mempunyai kes seumpama ini.

“Namun, operasi akan dibuat secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 3:54pm
d