mutakhir

Tak mudah banteras kongsi gelap pasar borong

Oleh Hairulazim Mahmud

BUKAN mudah untuk membanteras kegiatan kongsi gelap yang bermaharajalela dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di pasar borong sekitar ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sedang giat membongkar kegiatan berkenaan dan akan terus mendedahkannya.

“Mengenai isu kongsi gelap, perkara ini kita kena faham bahawa kita nak menangani masalah yang sudah lama bertapak, ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan dengan serta-merta,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Khamis lalu pihak berkuasa melancarkan operasi disertai lebih 100 anggota dan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sehari selepas itu, dalam serbuan bersepadu kementerian itu bersama beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri pada 5 April, seramai 107 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selain 348 majikan atas pelbagai kesalahan antaranya menyewakan premis perniagaan kepada PATI.

Bagi tempoh 1 Januari hingga minggu lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah melaksanakan 1,094 operasi di sekitar pasar borong, pasar malam dan premis perniagaan seluruh negara menerusi Op Jaja dan Op Belanja.

Dalam pada itu, Khalid berkata, masalah kebanjiran PATI di pasar borang termasuk di Selayang dapat diatasi sekiranya peniaga tidak menjual atau menyewa lesen perniagaan mereka kepada warga asing selain mengambil pendatang asing tanpa izin bekerja dengan mereka.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 5:01pm
d