mutakhir

'Ribut luar biasa'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad dan Mohd Sharul Nazri Mohd Zulkifli Chow

“SAYA menggigil dan meminta anak mengalunkan azan kerana keadaan ketika itu menakutkan,” kata Siti Esah Penchun, 72.

Siti Esah adalah antara mangsa kejadian ribut di Sungai Ramal Dalam, Kajang yang merosakkan kediaman serta harta benda miliknya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Esah berkata, kejadian ribut semalam adalah yang terburuk sejak lebih 50 tahun tinggal di situ.

“Kejadian berlaku 5.30 petang selepas saya solat Asar. Ketika itu, ribut yang berlaku sangat luar biasa, pokok di sekeliling rumah seperti ‘berpusing’ seolah-olah memberi isyarat akan tumbang pada bila-bila masa.

“Ketika kejadian saya di dalam rumah bersama anak lelaki, Ruzaini Tamin, 50.

“Bimbang keadaan semakin teruk, saya minta anak mengalunkan azan bagi meredakan keadaan.

“Namun anak juga tak mampu mengalunkan azan dengan baik kerana takut dan bimbang,” katanya ditemui hari ini.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan dua kereta milik sepupunya rosak akibat dihempap pokok selain menyebabkan bumbung kediamannya ‘terbang’.

Kasminah Sipan, 90, yang tinggal seorang diri ketika kejadian berkata, dapurnya rosak kerana dihempap pokok durian.

“Saya ketakutan kerana duduk seorang diri. Mujur saya sempat pergi ke hadapan rumah. Jika tidak, tak tahu apa nasib saya,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Kamarul Izwan Sulaiman berkata, pihaknya kini melakukan operasi pembersihan termasuk kerosakan papan tanda akibat ribut itu.

Menurutnya, operasi cantas pokok juga kini masih berjalan seperti biasa di semua kawasan pentadbiran berdasarkan tinjauan.

“Ketika ini musim hujan, saya berharap orang awam berhati-hati terutama ketika memandu atau berada di mana saja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pokok tumbang di Jalan Bukit Ampang, Bandar Sri Permaisuri dan Taman Bukit Angkasa 5.24 petang.

“Kami menghantar pasukan ke lokasi terbabit untuk mengalihkan pokok yang menghalang laluan.

“Di Bandar Sri Permaisuri, ada dua kereta terperangkap dan dua tiang lampu rosak akibat pokok tumbang.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 5:07pm
d