mutakhir

Proses ketum di rumah tinggal [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

MENJADIKAN rumah tinggal di persisiran pantai sebagai tempat memproses air ketum untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik digunakan dua lelaki dan seorang wanita yang berjaya ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban dan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sebuah rumah tidak bernombor di Permatang Damar Laut, Georgetown hari ini.

Difahamkan, mereka menjadikan rumah terbabit yang agak terpencil untuk merebus air ketum sebelum dipasarkan kepada nelayan dan pekerja kampung sekitar kawasan terbabit.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, dalam serbuan 10 pagi itu, pihaknya merampas 1,000 bungkus air ketum dan 90 kilogram daun ketum bernilai RM9, 600.

Menurutnya, semua yang ditahan itu berusia 20 hingga 35 tahun dan mereka dikesan sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Kita memperoleh maklumat berhubung kegiatan mereka ini sejak dua minggu lalu daripada orang ramai dan juga hasil risikan.

“Berdasarkan maklumat itu, kita melakukan serbuan dan turut merampas dua periuk besar yang digunakan mereka untuk merebus air ketum,” katanya hari ini.

Rosman berkata, air ketum terbabit dijual RM6 sebungkus dan kumpulan itu dipercayai mampu menghasilkan sehingga 1,000 bungkus sehari.

“Siasatan mendapati air ketum itu dijual kepada golongan nelayan dan pekerja kampung yang mempercayai ia dapat meningkatkan tenaga untuk mereka ketika melakukan kerja berat.

“Semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, suspek menjadikan rumah tinggal yang agak terpencil di kawasan persisiran pantai untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 8:27pm
d