mutakhir

Pengarah Bahagian JPNIN, anak lelaki antara 4 ditahan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PENGARAH Bahagian Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan anak lelakinya antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu, hari ini.

Sumber berkata, semua suspek termasuk seorang penjawat awam dan dua orang awam ditahan SPRM cawangan Kluang jam 2 petang, selepas disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu kepada JPNIN berjumlah RM100,000.

“Ia membabitkan program kemasyarakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar negeri ini.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati kerja bagi pembekalan program itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan mendapati sebahagian daripada jumlah tuntutan itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi anak lelaki Pengarah Bahagian berkenaan.

Katanya, semua suspek yang ditahan adalah tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an sehingga 50-an.

Menurutnya, kesemuanya kini ditahan di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

“Dua penjawat awam yang ditahan adalah Pengarah Bahagian di JPNIN dan Penolong Pegawai Perpaduan JPNIN Batu Pahat.

“Dua suspek lain adalah orang awam iaitu seorang kontraktor pembekal dan anak kepada pengarah bahagian terbabit,” katanya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Katanya, dua daripada empat suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 8:53pm
d