mutakhir

Berlian merah jambu sudah diisytihar

Oleh Hairulazim Mahmud

EJEN yang membawa masuk berlian merah jambu dan barangan kemas lain ke negara ini untuk isteri seorang kenamaan ketika itu sudah mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, ejen terbabit juga mengisytiharkan barangan berkenaan dengan Jabatan Kastam ketika keluar dari negara ini.

“Bagi kes berprofil tinggi ini, saya ingat sudah dijawab oleh menteri (Lim Guan Eng) tahun lalu bahawa dia dibawa masuk oleh ejen. Ya, ejen dah ikrar bawa masuk, kemudian ada ikrar benda sama bawa keluar.

“Jadi tidak berlaku pembelian, sudah dibawa balik oleh ejen ini. Tapi saya ingat sempat kita semua tengok ‘pink diamond’ semua itu, tapi kemudian dia sudah dibawa balik dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung peringkat dasar Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Harian Metro pada 26 Oktober 2018 melaporkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan loket berlian ‘pink’ 22 karat yang dikatakan dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$27 juta adalah hadiah daripada putera raja dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, putera raja itu adalah Sheikh Mansour, saudara Putera Mahkota Sheikh Mohammed Zayed, yang juga Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk isterinya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 9:15pm
d