mutakhir

Beriadah sambil beramal

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT puluh ahli Kelab Komuniti Alza Facelift Malaysia (AFCM) melalui pengalaman ‘diserang’ kumpulan lebah ketika mengikuti program amal mendaki Gunung Datuk, Rembau, bagi mempromosikan kempen menjaga alam sekitar.

Serangan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat ahli kelab untuk menamatkan pendakian yang diadakan bertujuan mengumpul kutipan bagi disumbangkan kepada Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaini, Senawang.

Program pendakian yang dianjurkan kelab itu baru-baru ini turut melakukan aktiviti mengutip sampah sepanjang pendakian di gunung berketinggian 855 meter dari aras laut.

Pengerusi AFCM Mohd Shahril Napiah berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkempen mengenai penjagaan alam sekitar bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Kami berkumpul di sebuah masjid di Pekan Rembau sebelum memulakan pendakian 7.30 pagi.

“Semua ahli yang ambil bahagian datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Sepanjang pendakian sehingga ke puncak itu, ahli turut mengutip sampah sebagai mendidik orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar.

“Sebaik tiba di puncak, kami dan kumpulan pendaki lain diserang lebah. Mujur tiada ahli cedera disengat kerana serangga itu hanya hinggap pada badan kami saja,” katanya.

Mohd Shahril berkata, mereka meneruskan perjalanan turun dan tiba di kaki gunung jam 12 tengah hari.

Pada program itu katanya, ahli AFCM turut membeli baju-T berharga RM20 dan RM5 daripada setiap pembelian itu disumbangkan kepada Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaini.

“Sebaik tamat program, wakil AFCM Selatan singgah di pusat jagaan berkenaan untuk menyerahkan sumbangan,” katanya.

Katanya, AFCM tidak pernah melepaskan peluang mengadakan pelbagai program amal setiap bulan bagi memupuk nilai murni itu di kalangan ahli.

Beliau berkata, pihaknya dijangka mengadakan program singgah sahur dan menyerahkan sumbangan kepada golongan memerlukan sempena Ramadan tidak lama lagi.

Sementara itu Mohd Afendi Abdul Rashid, 39, berkata, program itu bukan saja mengeratkan silaturahim sesama ahli AFCM tetapi beriadah sambil beramal dengan menghulurkan sumbangan kepada anak yatim.

“Dalam program ini, kami beriadah dan pada masa sama mengutip sampah sepanjang pendakian.

“Selepas itu kami menyerahkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaini.

“Dengan cara ini ia bukan saja aktiviti berfaedah tetapi memberi keinsafan,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 9:55pm
d