mutakhir

Mengapa dulu Pemuda UMNO enggan bersuara? - Azmin

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

CADANGAN Pemuda UMNO supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku di dalam pengurusan Tabung Haji (TH) dipersoalkan kerana ia tidak pernah dicadangkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau hairan mengapa baru sekarang cadangan berkenaan dibangkitkan dan bukannya sebelum ini.

“Mengapa tidak ketika mereka (UMNO) memerintah sebelum ini kerana penyelewangan di dalam TH ketika itu telah pun ditegur oleh Bank Negara.

“Mengapa tatkala itu Pemuda UMNO enggan bersuara dan enggan mendesak untuk penubuhan RCI,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berkempen pada program ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Pasir Mas, Rembau, malam tadi.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mencadangkan penubuhan RCI itu berkata ia amat penting untuk menjernihkan kekusutan masyarakat yang boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TH.

Jumaat lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, tindakan Pemuda UMNO itu seolah-olah mahu menunjukkan mereka juara dalam perkara terbabit.

“Mengapa bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil satu tindakan berani untuk menyatakan yang benar kepada pendeposit, Pemuda UMNO tampil untuk menjadi juara dalam perkara ini.

“Kerajaan hari ini mengambil sikap terbuka, berterus terang untuk melindungi dan menjaga kepentingan pendeposit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 12:03am
    d