mutakhir

Belacan mesra pesawat

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA hanya guna garam kasar dan udang geragau saja. Belacan ini tiada bau dan ‘lulus’ dibawa masuk dalam kapal terbang,” kata pengusaha belacan jenama Mahirhaya Kampung Sungai Melayu, Mahiran Abdul Hamid, 50, berkongsi rahsia pembuatan produk belacan miliknya.

Paling membanggakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan terhadap dua bahan itu membolehkan Mahiran mengeluarkan produk ‘belacan mesra pesawat.’

Buktinya, belacan yang ditempah pelanggan tetap melalui medium Facebook (FB) ataupun daripada mulut ke mulut berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Sabah dan Sarawak, Brunei dan Jepun.

Anak jati Kampung Sungai Melayu itu berkata, dia mempelajari pembuatan belacan berkenaan daripada arwah ibunya sejak berusia lapan tahun.

Katanya, dia kemudian menggunakan kaedah dan ramuan khas supaya belacan dihasilkan tidak berbau dan dapat dieksport ke luar negara menggunakan pesawat.

“Saya terfikir mengapa orang luar negeri termasuk Sabah dan Sarawak boleh mengeksport produk mereka ke Semenanjung.

“Saya kemudian membuat formula sendiri dengan menggunakan garam dan udang geragau melalui teknik menjemur pada panas matahari,” katanya.

Katanya, dia hanya menggunakan jiran tetangga bagi menguji kesedapan belacan resepi keluarganya, sebelum ditambah baik hingga mencapai tahap dikehendaki.

“Rahsia kesedapan belacan ini hanya dua. Pertama cara pembuatannya perlu bersih dan teknik menggaul antara udang geragau dan garam mesti betul.

“Akhirnya saya bukan saja dapat menghasilkan belacan tidak berbau, tetapi produk belacan mesra pesawat,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Mengakui produk belacannya sangat berbeza dengan belacan lain di pasaran yang menggunakan tepung beras katanya, dia hanya menggunakan dua bahan penting itu saja.

“Hanya penggemar belacan tahu bagaimana keenakan belacan saya, bahkan kualitinya seperti dibakar sedangkan ia dijemur di bawah panas terik matahari hingga warnanya berubah gelap,” katanya yang juga isteri kepada anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Tampoi.

Katanya, dia mendapatkan bekalan udang geragau segar daripada nelayan di Kampung Sungai Melayu di sini, selain diperoleh di sekitar Pontian, Mersing dan Pulau Pinang.

“Biasanya bekalan udang geragau segar diperoleh pada musimnya iaitu antara bulan April hingga September dan stok terbabit membolehkan saya menghasilkan 300 ketul belacan setiap hari.

“Bagi memastikan bekalan belacan tidak terputus, saya akan menyimpannya ke dalam peti sejuk dan diproses bila mendapat permintaan pelanggan,” katanya yang juga isteri kepada anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Tampoi.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyalurkan bantuan RM20,000 pada tahun 2013.

“Bantuan bagi pembelian mesin dan pelabelan itu membolehkan produk itu berada di pasaran hingga kini,” katanya yang turut dibantu anaknya yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ditanya mengenai jenama Mahirhaya katanya, ia gabungan nama kedua-dua ibu bapanya dan dirinya sehingga terhasil slogan ‘Oh Sedapnya Resepi Turun Temurun’ Mahirhaya Belacan Kampung Sungai Melayu.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 6:01am
d