mutakhir

Ada lagi yang akan mendarat?

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS percaya masih ada kira-kira 200 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya berada di perairan Thailand dan menunggu peluang untuk masuk ke perairan Perlis menggunakan bot pancung.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya masih meneliti maklumat berkenaan dari semasa ke semasa memandangkan perairan di negeri ini sering dicerobohi etnik dari Myanmar itu.

“Kesahihan perkara itu masih dalam kajian terperinci pihak polis, ini berdasarkan maklumat yang kita peroleh daripada PATI ditahan semalam.

“Bagi mengelak daripada perkara itu (pencerobohan) berlaku, pihak polis memperketatkan kawalan di laut dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Pihak kami akan menumpukan rondaan berhampiran perairan sempadan, ini berikutan jarak antara Malaysia dengan Thailand sangat dekat. Kita tidak mahu PATI ini mengambil kesempatan ke atasnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, 40 PATI lelaki etnik Rohingya mendarat di Pantai Sungai Bahru, Kampung Belati seawal 7 pagi dengan menaiki bot pancung.

Kehadiran mereka disedaripenduduk kampung yang ketika itu sedang keluar untuk pergi bekerja dan ke jeti Kuala Sungai Bahru bagi melakukan aktiviti perikanan.

Noor Mushar berkata, pihaknya tidak boleh mengarahkan mereka untuk berpatah balik sekiranya pasukan keselamatan bertembung dengan PATI di perairan.

“Bimbang sekiranya mereka mati di laut, akan ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan alasan hak asasi manusia untuk menghentam pihak polis.

“Secara tidak langsung menimbulkan krisis antarabangsa dan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya jumlah sebenar PATI yang mendarat di pantai Sungai Bahru semalam, Noor Mushar berkata mereka adalah seramai 47 orang.

“Tangkapan yang dibuat semalam adalah seramai 41 orang, namun enam orang lagi berjaya melarikan diri dan kita percaya mereka berada tidak jauh dari negeri ini.

“Usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 11:33am
d