mutakhir

Lagi nelayan asing ditahan APMM

Oleh Abdul Rahemang Taiming

TIGA nelayan warganegara asing di tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau kerana disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Tinagat, Tawau, petang kelmarin.

Bot nelayan tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sepasukan anggota APMM di perairan itu pada 5.56 petang.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pemeriksaan awal mendapati tiga nelayan termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 49 hingga 54 tahun di dalam bot berkenaan.

“Semua nelayan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain lesen bot berkenaan juga didapati sudah tamat tempoh.

“Ketiga-tiga suspek ditahan manakala bot telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri, meminta orang ramai agar terus menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kegiatan jenayah maritim melalui Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 12:01pm
d