mutakhir

Pengarah, anak direman [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru, hari ini membenarkan reman lima hari terhadap Pengarah Bahagian Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan anak lelakinya.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Faridatul Farrah Mohd Shukri bagi membolehkan siasatan kes bersubahat membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000 dilakukan terhadap kedua-dua individu terbabit.

Suspek yang berusia lingkungan 50-an bersama anak lelakinya tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, pada 9 pagi tadi.

Terdahulu, pengarah terbabit dan anak lelakinya antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu.

Sumber berkata, semua suspek termasuk seorang penjawat awam dan dua orang awam ditahan SPRM cawangan Kluang 2 petang semalam, selepas disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu kepada JPNIN berjumlah RM100,000.

Ia membabitkan program kemasyarakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Johor.

Bagaimanapun, siasatan mendapati kerja bagi pembekalan program itu tidak dilaksanakan.

Sumber itu berkata, siasatan mendapati sebahagian daripada jumlah tuntutan itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi anak lelaki Pengarah Bahagian berkenaan.

Katanya, semua suspek yang ditahan adalah tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an sehingga 50-an.

Menurutnya, kesemuanya kini ditahan di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Dua penjawat awam yang ditahan adalah Pengarah Bahagian di JPNIN dan Penolong Pegawai Perpaduan JPNIN Batu Pahat.

Dua suspek lain adalah orang awam iaitu seorang kontraktor pembekal dan anak kepada pengarah bahagian terbabit,” katanya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 12:05pm
d