mutakhir

Serah RM329,400 kepada 'kastam'

Oleh Garret Dawum

SEORANG wanita kerugian RM329,400 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, mendakwa dia mempunyai tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain terbabit dengan sindiket dadah dan aktiviti penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kejadian dipercayai bermula pada 27 Mac.

Katanya, mangsa berusia 52 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki Cina mendakwa daripada bahagian pentadbiran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Putrajaya.

“Suspek memaklumkan mangsa mempunyai hutang cukai dengan Kastam berjumlah RM51,076 antara 12 Jun 2017 sehingga Januari tahun lalu atas sebuah syarikat dibuka di Pulau Pinang.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambungkan ke ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang’ dan individu bercakap di telefon mendakwa dia terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram dan sindiket dadah,” katanya, hari ini.

Mustafa berkata, mangsa diminta memberikan kerjasama bagi melancarkan siasatan dengan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun diberikan suspek.

Menurutnya, mangsa melakukan 31 transaksi ke lima akaun berbeza didakwa suspek milik juruaudit di Jabatan Audit Negara antara 2 April hingga 5 April lalu.

Jelasnya, wanita bekerja sebagai pengurus pentadbiran itu sedar dirinya ditipu apabila panggilan dan pesanan WhatsApp dihantar kepada suspek tidak dibalas.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis Ahad lalu,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 12:51pm
d