mutakhir

Pemuda maut bertembung pacuan empat roda

Oleh Shahrinnahar Latib

PEMUDA berusia 21 tahun maut selepas kereta dipandu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Afiq Irfan Rosli meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kemalangan di Jalan Semambu, Kuantan, pada 4.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, Perodua Kelisa dipandu mangsa dari arah Beserah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Mitsubishi L200.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda, Mohd Azizi Che Mamat, 32, seorang peniaga kedai runcit luka di dahi dan lengan kiri turut dirujuk ke HTAA untuk rawatan.

“Setakat ini, tiada saksi awam yang tampil bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 1:28pm
d