mutakhir

'Demi membina Malaysia yang harmoni' [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

“DALAM keadaan kerajaan yang tak menentu hari ini, saya rasa amat penting untuk setiap rakyat mengundi, sebab itu saya tetap mahu mengundi walaupun terlantar begini,” kata pesara polis kurang upaya (OKU), Azahari Latiff.

Pesara dengan pangkat terakhir Lans Koperal berusia 58 tahun itu adalah antara 36 anggota polis yang melaksanakan undi awal di Balai Polis Rantau, hari ini.

Beliau yang lumpuh akibat kemalangan 10 tahun lalu berkata, tidak akan melepaskan peluang untuk mengundi biarpun terpaksa diusung ke pusat pengundian.

“Sekarang ini saya lihat kita terlalu banyak ada sikap perkauman dan itu perlu dielakkan.

“Sebab itu, selagi hidup dan mampu, saya tetap mahu melaksanakan tanggungjawab membina negara Malaysia yang harmoni,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian awal Balai Polis Rantau, di sini hari ini.

Sementara itu, anak kedua Azahari, Azmel, 26 berkata, dia kagum dengan semangat bapanya itu yang sentiasa mengingatkannya supaya membawanya mengundi hari ini.

“Bila dapat tahu adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, ayah bersemangat untuk keluar mengundi awal hari ini.

“Memang ayah tidak pernah terlepas mengundi kecuali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu kerana baru selesai menjalani pembedahan membuang batu karang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 1:43pm
    d