mutakhir

Pulih segera keyakinan terhadap TH - Hadi

Oleh Idris Musa

BAGI memperkasakan kedudukan kewangan dan meningkatkan kecekapan operasi Tabung Haji (TH), PAS menyarankan penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa PAC Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagi meneliti setiap laporan dan syor dikemukakan Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia BNM).

Katanya, keyakinan terhadap TH perlu dipulihkan segera melalui sokongan dan dukungan semua pihak terhadap peranan teknokrat yang dilantik dalam kalangan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi.

“Ia bagi melaksanakan tugas secara profesional, tanpa campur tangan politik berlebihan dalam membuat sebarang keputusan.

“Tumpuan perlu diberikan untuk melaksanakan segala langkah pemulihan yang digariskan bagi meningkatkan integriti dan mengembalikan keyakinan terhadap TH, seterusnya mengangkat kedudukan TH serta ekonomi umat Islam ke tahap lebih baik di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, TH adalah institusi ekonomi terpenting kepada umat Islam yang perlu diurus secara telus, cekap dan profesional.

“Peranan yang terpikul di bahu TH amat besar dalam menjaga kebajikan jemaah haji bagi melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna.

“Di samping itu, berperanan sebagai wadah penyimpanan dan pelaburan yang dapat meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam keseluruhannya,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini, menafikan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan Pakatan Harapan menjadi punca masalah dalam TH.

Beliau dilaporkan berkata, masalah TH lama berakar umbi hingga BNM pernah memberi amaran kepada institusi itu berhubung prestasi kewangannya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 9:03pm
d