mutakhir

Belum ramai guna aplikasi VSP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KESEDARAN orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) masih rendah berikutan hanya 40,273 ahli memuat turun aplikasi berkenaan sejak dilancarkan Julai tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu hanya 1,000 pengguna aplikasi berkenaan aktif melaporkan kejadian jenayah.

“Di seluruh negara, seramai 649,734 pengguna sudah memuat turun jika dibandingkan hanya 40,273 sahaja dari Kuala Lumpur.

“Kebanyakan pengguna masih tidak faham menggunakan aplikasi berkenaan dan disebabkan itu, kami turun padang menjelaskan, sekali gus mempromosikan penggunaan aplikasi itu,” katanya pada sidang media selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di Pusat Beli-Belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Program itu bertujuan komuniti supaya memainkan peranan mereka dalam membanteras jenayah dan menjadi mata serta telinga kepada pihak polis.

Mazlan berkata, pelbagai usaha akan dilakukan bagi mempertingkat jumlah pendaftaran, sekali gus menaikkan jumlah aduan diterima melalui aplikasi itu.

“Setakat ini, hanya 2.5 peratus sahaja yang menyalurkan pelbagai maklumat dan kejadian termasuk imej kepada pihak polis.

“Lebih ramai akan mendaftar VSP maka akan bertambah lagi individu membuat laporan tentang kegiatan jenayah berlaku di sekitar mereka,” katanya.

Mazlan berkata, melalui aplikasi VSP, segala maklumat disalurkan dengan lebih mudah dan berkesan tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata, ada yang menghantar maklumat berkaitan jenayah melalui surat, tetapi berkongsi maklumat melalui VSP lebih mudah dan selamat.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 9:57pm
d