mutakhir

Polis cari pemandu Honda

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS sedang mengesan pemandu kereta jenis Honda yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari di Kilometer 5, Lebuhraya Utara Selatan, dekat Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, dalam kejadian 11 malam itu, penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan terbabit ketika terjatuh selepas melanggar bangkai anjing di atas jalan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku membabitkan tiga kenderaan dari arah Jitra menghala ke arah Bukit Kayu Hitam.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi, penunggang motosikal terbabit, Kam Kok Eng, 54, dari Taman PKNK, Alor Setar dipercayai terjatuh selepas melanggar bangkai anjing menyebabkan motosikal yang ditungganginya menghempap badannya.

“Saksi terbabit yang berada di belakang motosikal mangsa ketika itu memberhentikan kenderaannya untuk memberi amaran pada kenderaan belakang supaya tidak melanggar mangsa.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kereta disyaki jenis Honda tidak perasan mangsa waktu itu dan melanggar mangsa yang ketika itu masih di atas jalan sebelum diseret 15 meter di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, motosikal mangsa yang terpelanting di kanan jalan kemudian diseret oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak motosikal berkenaan sejauh kira-kira 20 meter.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, penunggang motosikal berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

“Pemandu kereta kedua, Mohd Rodzi Mohd Jusoh, 45, dari Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang laporan dari pemandu kereta pertama yang melanggar mangsa” katanya.

Chien berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat sebelum dirujuk ke pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu dan mengesan kenderaan pertama yang terbabit dalam kenderaan itu boleh menghubungi IPD Kubang Pasu cawangan trafik di talian 04-9172222 atau balai berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 9:39am
d