mutakhir

'Jadi PM? Saya nak jaga Rantau dulu...' [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

DATUK Seri Mohamad Hasan menganggap ‘cakap-cakap’ bahawa beliau bakal menjadi Perdana Menteri (PM) jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah hanya sekadar gurauan ketika berkempen.

Beliau yang juga calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, ia sekadar khabar angin, namun mengakui kurang selesa jika ia berterusan digunakan dalam kempen.

Katanya, tindakan itu memberi ruang lebih banyak serangan peribadi dilakukan pihak lawan selain akan timbul rasa tidak selesa ahli parti.

“Saya hanya berkempen untuk jaga Rantau saja. Tak perlu kempen beritahu Tok Mat (Mohamad Hasan) bakal PM.

“Masih terlalu jauh nak cakap pasal perkara itu. Saya nak jaga Rantau dulu,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan BN, di Rembau, hari ini.

Mohamad atau selesa dipanggil Tok Mat dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya BN kembali menguasai Dewan Rakyat.

Perkara itu ditimbulkan beberapa pemimpin BN ketika berceramah di PRK DUN Rantau.

Dalam pada itu, beliau bersedia untuk berdepan dengan lebih banyak serangan peribadi menjelang tempoh berkempen yang berbaki tiga hari lagi.

“Saya dah banyak kali kena ‘tembak’ (dikaitkan dengan pelbagai isu) oleh mereka (PH). Tapi mereka guna peluru kapur (tidak berkesan) jadi orang tidak percaya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 12:16pm
    d