mutakhir

Tak pernah cuti demi kuda

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KETIKA anak muda lain menghabiskan masa bersama gajet, pemuda dari Kampung Raga, Yan, ini lebih senang meluangkan masa bersama tiga ekor kuda dinamakan Dzia almafir, Princess Laura dan Redho.

Haiwan berkenaan adalah antara 18 ekor kuda menjadi rakan karib Mohd Daniel Farhan Mohd Rosdi, 21.

Pemuda ini banyak menghabiskan masa bersama kuda berkenaan selepas dilantik menjadi penyelia di ladang dan tempat latihan kuda berkenaan di kampung itu sejak dua tahun lalu.

Mohd Danial berkata, hubungan akrab dengan kuda dibeli bapanya, Mohd Rosdi Ghazali,57 dan bapa saudaranya Datuk Mohd Roslan Ghazali, 59, membuatkan dia tidak pernah sehari pun mengambil cuti demi memastikan kuda itu dijaga dengan baik.

“Walaupun mempunyai dua orang pembantu saya lebih suka bersama mereka menjaga kuda ini biarpun terpaksa berada 24 jam sehari.

“Saya sayang kesemua kuda di sini malah pernah tidur bersebelahan dengan kuda yang sakit.

“Kami pasang kelambu dan tidur berhampiran kandang untuk memantau haiwan ini yang kelihatan muram, tidak mahu makan dan minum akibat kembung perut,” katanya.

Katanya, sebagai alternatif dan rawatan awal kuda berkenaan dibawa bersiar-siar sekitar ladang untuk membuang angin serta air besar.

Anak keempat dari enam beradik itu berkata, jika masalah kembung haiwan itu serius mereka perlu menyeluk saluran dan menarik najis keluar.

Dia yang mesra dengan panggilan Ayan, kini mula berjinak-jinak dalam sukan ‘endurance’ yang dianjurkan di Terengganu dan Kelantan.

Muala menunggang kuda sejak berusia lima tahun, Ayan mengajak lebih ramai anak muda bersama-samanya menceburi sukan.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 12:48pm
d