mutakhir

Semoga Muhammad Syawal lekas sembuh

Oleh Nur Izzati Mohamad

“KALAU ada benda berharga yang boleh dijual, semuanya saya akan jual asalkan nyawa anak dapat diselamatkan,” kata Mohd Azani Azuan Abdul Halim, 28.

Mohd Azani Azuan bersama isterinya Siti Badariah Bistamam, 26, diuji apabila bayi mereka Muhammad Syawal Mohd Azani Azuan, sembilan bulan, disahkan mengalami masalah jantung berlubang sejak berusia sembilan hari.

Ia berikutan Muhammad Syawal dilahirkan tidak cukup bulan dan menyebabkan kesihatannya terganggu hingga muka, jari serta bibirnya menjadi kebiru-biruan.

Mohd Azani Azuan berkata, Muhammad Syawal pada awalnya menjalani pembedahan usus ketika dia berusia sebulan dan kini jantungnya pula didapati bermasalah.

“Doktor memaklumkan saluran injap jantungnya sempit serta otot jantungnya juga bengkak yang mana perlu dibedah segera memandangkan keadaannya dilihat sudah semakin tenat.

“Namun, kini saya buntu memikirkan kos pembedahan yang mencecah sehingga RM80,000,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang bekerja di kilang dekat Bayan Lepas tidak mampu membiayai kos pembedahan itu dan berharap pertolongan daripada insan yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi keluarganya.

“Isteri saya yang dahulunya bekerja terpaksa berhenti untuk menjaga anak kami dan pendapatan saya seorang sudah tentu tidak cukup apatah lagi memerlukan kos pembedahan dengan segera,” katanya.

Bagi Siti Badariah, dia yang mendapat tahu bayinya mengalami penyakit seumpama itu sudah tentu tidak dapat menyembunyikan kesedihan apatah lagi ia adalah cahaya mata yang dinanti-nantikannya hampir empat tahun mendirikan rumah tangga.

“Hati ibu mana yang tidak sedih melihat bayi yang dikandung selama sembilan bulan dan sudah lama menantikan kehadirannya kini terpaksa berdepan dengan penyakit ini.

“Saya dan suami reda dengan ketentuan ini disamping berharap serta berdoa Muhammad Syawal dapat sembuh seperti biasa,” katanya.

Nasib keluarga Muhammad Syawal mendapat perhatian Pertubuhan One Hope Charity and Welfare Berhad yang bersedia membantu mengumpul kos pembedahan bayi itu.

Pengerusinya, Chu Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati menyumbang wang pendahuluan RM10,000 kepada ibu bapa bayi berkenaan untuk menjalani pembedahan itu di hospital swasta.

“Disamping itu, kita mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk turut sama membantu memudahkan urusan keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435 atau menghubungi mereka di talian 016-4192192 atau 04-5059800.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 1:37pm
d