mutakhir

'Mana kamu semua nak lari'

Oleh Amran Yahya

POLIS memburu sekumpulan lelaki disyaki terbabit dalam kejadian menyerang dan mencederakan tiga pelanggan di sebuah kedai makan di Melang, Kuala Pilah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam, suspek menaiki dua kereta berhenti di hadapan premis itu.

Menurutnya, empat lelaki memakai topeng penutup muka dan topi keluar kemudian menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan.

“Semua suspek yang bersenjatakan parang, cotar dan rotan menyerang tiga lelaki berusia 30-an sedang duduk di meja makan. Seorang mangsa sempat melarikan diri manakala dua lagi dipukul suspek.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta sama. Kita tidak menolak kemungkinan ada suspek lain yang menunggu di dalam kereta ketika serangan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haslah berkata, akibat kejadian itu seorang mangsa patah jari dan luka di kepala. Sementara itu seorang lagi mengalami luka dan bengkak pada lengan kiri, kepala serta kaki.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Izzaq di talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, video insiden serangan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis itu tular di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian netizen.

Menerusi rakaman video berdurasi 42 saat, empat lelaki bersenjata memakai penutup muka, topi, baju-T selain dua suspek berseluar pendek manakala dua lagi berseluar panjang.

Dua mangsa hanya mampu melindungi diri mereka menggunakan kerusi plastik dan ada seorang individu lain yang berada di lokasi cuba menghalang perbuatan suspek sebelum kumpulan itu beredar.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 2:22pm
d