mutakhir

Simalajau terbakar lagi

Oleh Erika George

KEBAKARAN hutan Taman Negara Similajau berulang dengan memusnahkan 2.42 hektar kawasan hutannya, sejak Ahad lalu.

Kebakaran pertama yang bermula pada 29 Mac lalu turut mengakibatkan keluasan hutan sama terbakar namun api berjaya dikawal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, keseluruhannya seluas 4.85 hektar kawasan hutan taman negara berkenaan musnah, manakala empat lagi tompok api sudah dikenal pasti berlaku.

“Bagi kerja memadam kebakaran pada hari ini sejak jam 9 pagi tadi, pihak bomba sudah berjaya memadam 1.01 hektar daripada 2.42 hektar hutan terbakar.

“Operasi pemadaman hari ini dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan dianggotai tujuh anggota bomba.

“Ia turut mendapat bantuan daripada pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, dalam operasi masuk hari keempat itu, pihak bomba sudah menggunakan sebanyak 60,000 liter air melalui tiga saliran air daripada jentera prime mover.

“Pihak bomba turut menghadapi kesukaran memadam kebakaran kerana keadaan laluan yang kurang baik, ditambah kawasan kebakaran yang jauh ke dalam hutan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, cuaca kering dan tiupan angin kuat dari arah laut dilihat sebagai faktor penyebab kebakaran merebak dengan cepat.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 2:45pm
d