mutakhir

Hutang FELDA 1,100 peratus

Oleh Hairulazim Mahmud

JUMLAH hutang FELDA meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion kepada RM14.4 bilion dalam tempoh 10 tahun mulai 2007, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan, berbanding kenaikan nilai aset yang mencatatkan hanya 107 peratus manakala keuntungan FELDA jatuh sebanyak 590 peratus dalam tempoh sama.

“Ini menunjukkan pinjaman hutang tidak menambah nilai kepada FELDA sebaliknya, pinjaman yang dibuat oleh agensi itu memberikan impak yang buruk kepada kedudukan kewangan FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, situasi FELDA menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat.

“Kedudukan kewangan FELDA bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran ketika itu,” katanya.

Menurutnya, pada bulan lalu, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 5:08pm
d