mutakhir

[UPDATE] Sah tersedak susu

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS mengklasifikasikan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru semalam, sebagai mendatangkan kematian secara cuai.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan atas.

Menurutnya, laporan bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik HSA mengesahkan punca kematian adalah tersedak susu atau ‘aspiration pneumonia’.

“Doktor memaklumkan ia berpunca daripada mangsa tersedak susu. Keadaan itu menyebabkan susu masuk ke dalam paru-paru, mengakibatkan saluran kiri dan kanan paru-paru tersumbat.

“Keadaan itu mengakibatkan kekurangan oksigen dan menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahurinain berkata, siasatan mendapati pengasuh sudah dua tahun menjaga anak sulung pengadu, dan baru tiga bulan menjaga mangsa. “Siasatan awal mendapati mangsa minum sebotol susu sebelum kejadian.

“Selepas minum susu mangsa tidur dan didapati mukanya kebiruan ketika dalam tidur,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama siasatan mendapati tiada kecederaan pada mangsa, dan kecederaan didakwa bapanya adalah kecederaan lampau sebelum kejadian.

Katanya, kecederaan lampau yang didakwa bapa mangsa akan diambilkira untuk siasatan kes.

Sementara itu, Shahurinain berkata, dalam kejadian itu pengadu yang juga bapa bayi berkenaan Muhd Hafez Mohamed, 32, menerima panggilan daripada pengasuh jam 2.30 petang.

Katanya, pengasuh memaklumkan anak lelakinya berusia empat bulan tidak sedarkan diri, sebelum bergegas ke rumah pengasuh.

Menurutnya, pengadu melihat anaknya dalam keadaan muka pucat dan tapak kaki biru sebelum membawa si mati menaiki motosikal ke Klinik Kesihatan Majidee.

“Dia memberitahu anaknya tidak sedarkan diri di rumah pengasuh sebelum bayi itu dihantar ke bahagian zon merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) menggunakan ambulans.

“Doktor bertugas cuba menyelamatkan si mati, namun selepas 15 minit terpaksa mengesahkan bayi itu meninggal dunia,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Terdetik anak sudah tiada'
  • Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 5:43pm
    d