mutakhir

RM2.7 bilion wang FELDA diguna untuk kempen PRU lalu

Oleh Hairulazim Mahmud

“SEJUMLAH RM2.7 bilion digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata, jumlah itu adalah antara perbelanjaan daripada hasil tunai RM6 bilion yang diperoleh FELDA berikutan penyenaraian FGV Holdings Berhad (FGV).

Beliau berkata, penyenaraian FGV menjana tunai RM10.5 bilion dengan FELDA memperoleh tunai RM6 bilion dan baki selebihnya menjadi milik FGV.

“Malangnya, RM1.4 bilion daripada hasil tunai itu juga dibelanjakan untuk membuat pelaburan yang sangat meragukan membabitkan transaksi gelap,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sebelum penyenaraian FGV, FELDA menjana keuntungan operasi melalui pengurusan ladang komersial milik agensi itu seluas 400,000 hektar.

“Dalam tempoh 2007 sehingga 2011, FELDA mencatatkan keuntungan bersih di antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun tetapi selepas penyenaraian FGV, khususnya mulai 2013, prestasi kewangan FELDA mulai merosot.

“FELDA melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi RM4.9 bilion pada 2017,” katanya.

Katanya, bagi tujuan penyenaraian FGV, FELDA menyerahkan pengurusan ladang komersial miliknya melalui Land Lease Agreement (LLA) untuk tempoh 99 tahun.

Menurut Mohamed Azmin, mengikut LLA, FELDA akan menerima bayaran pajakan tanah ladang berjumlah RM248 juta setahun serta perkongsian keuntungan ladang pada kadar

15 peratus setahun sebagai balasan pajakan tanah komersial milik FELDA.

“Namun FELDA hanya menerima secara purata RM400 juta setahun daripada FGV berbanding keperluan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun untuk mengurus ladang serta menjamin kebajikan peneroka,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 5:43pm
d