mutakhir

'Tiada siapa tengok belakang Adib'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

KEPATAHAN tujuh tulang rusuk kiri belakang Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan besar tidak pernah dilaporkan sepanjang anggota bomba itu dirawat selepas parah dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Saksi inkues ke-29, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata, beliau berpandangan tiada sesiapa yang memeriksa bahagian belakang badan mangsa.

“Saya rasa tiada sesiapa pun yang tengok dekat belakang (badan) itu. Kemudian, apabila buat rawatan seterusnya, saya rasa tak ada sesiapa pun yang tengok di situ.

“Terbalik-terbalikkan (mangsa) pun mungkin tak ada sesiapa yang tengok... kalau ada pun, mungkin tidak laporkan sebab tak tahu sama relevan atau tidak (kecederaan itu),” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada prosiding hari ke-24 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini. Sementara itu, menjawab soalan lain Hamdan, Dr Shahrom yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom berkata, Muhammad Adib berkemungkinan besar ditarik dari dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika anggota itu masih berada di atas kerusi duduk penumpang hadapan dan sedang melihat ke arah belakang.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat memastikan secara tepat kedudukan orang yang dipercayai menarik mangsa kerana tidak mengetahui berat dan ketinggian sebenar individu berkenaan.

“Buat masa ini, saya tidak dapat memastikan berat atau tinggi orang yang tarik itu,” katanya.

Semalam, Dr Shahrom ketika pertama kali memberi keterangan dipetik berkata, Muhammad Adib berkemungkinan besar ditarik keluar dari van EMRS.

Beliau juga dilaporkan berpendapat mangsa mungkin dihentak ke pintu van berkenaan oleh sekurang-kurangnya tiga orang sehingga menyebabkan kepatahan tujuh tulang rusuk kiri dan lebam, pada bahagian paru-paru kirinya.

Saksi yang pernah memberi keterangan pada inkues kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed berkata, ia berdasarkan video lakonan semula kejadian dan kesan corak kecederaan pada mangsa.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 6:02pm
    d