mutakhir

Usul tindakan ke atas Najib

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman berat kerana mendedahkan dokumen Kertas Putih FELDA yang masih dalam embargo semalam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usul itu sudah dikemukakan hari ini supaya tindakan dapat diambil ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Pagi tadi saya kemukakan satu usul supaya tindakan keras diambil terhadap Pekan.

“Ini satu kesalahan besar. Kepada Pekan mungkin kesalahan kecil,” katanya ketika menggulung usul Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Najib melalui status Facebook peribadinya memuat naik sebahagian laporan kertas putih berkenaan berkaitan pembelian syarikat Indonesia iaitu Eagle High Plantations yang menyebabkan kerugian sehingga berbilion ringgit.

Najib tidak hadir sepanjang persidangan dewan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, dokumen yang dibekalkan kepada Ahli Parlimen itu berstatus embargo sehingga dibentangkan hari ini.

“Bagaimana bekas perdana menteri boleh membocorkan dokumen yang diembargo sehingga hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 8:05pm
d