mutakhir

Penyeludup ketum cuba langgar anggota PGA [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang cuba melanggar anggota terbabit selepas menyeludup ketum ke negara jiran di kebun getah di Taman Radzi, Padang Besar, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, tiga lelaki berusia antara 33 hingga 43 tahun berjaya ditahan manakala pemandunya sempat melarikan diri.

Beliau berkata, mereka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 April bagi membantu siasatan.

“Dalam kejadian 1 tengah hari itu, dua anggota terbabit melakukan rondaan dengan dua motosikal di kawasan kebun getah berkenaan.

“Anggota PGA terserempak dengan tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan ke arah sebuah pikap di bahu jalan.

“Salah seorang anggota menahan tiga lelaki itu manakala rakannya cuba menahan kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika menghampiri pikap itu, pemandu tidak dikenali menekan minyak dan cuba melanggar anggota terbabit. Demi keselamatan diri, satu das tembakan amaran dilepaskan ke udara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Noor Mushar berkata, selepas suspek tidak mengendahkan tembakan berkenaan, anggota terbabit melepaskan dua das lagi tembakan di bahagian tayar sebelum pemandu kenderaan itu berjaya melarikan diri.

“Kami percaya pemandu itu adalah penyeludup ketum yang juga rakan kepada tiga suspek memandangkan di bahagian belakang pikap terdapat beberapa guni putih dipercayai daun ketum.

“Sehubungan itu, semua suspek dibawa ke Balai Polis Padang Besar sebelum dibawa ke Mahkamah Kangar pagi ini untuk mendapatkan perintah penahanan reman,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan 39 (a) Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 8:30pm
d