mutakhir

Meranti, belian dirampas

Oleh Harun Yahya

SEBANYAK 260 balak spesis meranti dan belian bernilai RM700,000 dirampas dalam operasi bersepadu Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Ulu Sungai Uka, Poi Kanowit, hari ini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10, PGA Sibu, Superintendan Frediel Nyambong berkata, sembilan anggota dan pegawai PGA 10, termasuk 12 penguat kuasa SFC menyerbu di sebuah kolah balak selepas mendapat maklumat orang awam.

“Turut dirampas masing-masing dua jengkaut, jentolak dan kenderaan pacuan empat roda serta beberapa mesin dan peralatan lain.

“Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang mengaku pemilik barangan rampasan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan, termasuk nilai balak dianggarkan berjumlah RM1.426 juta.

“Pemeriksaan pasukan serbuan mendapati kayu balak dirampas tidak mempunyai tanda tukul Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Tanda Tukul Hak Milik, sekali gus membuktikan balak yang diambil dari hutan berdekatan adalah haram,” katanya.

Frediel berkata, semua barang dan tangkapan dibuat mengikut Ordinan Hutan Sarawak 2015 dan laporan operasi sudah diserahkan kepada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 96(1) Akta Ordinan Hutan Sarawak 2015, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 dengan penjara tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan pertama,” katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan berulang, suspek berdepan hukuman denda RM150,000 hingga RM500,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun.

“Suspek juga boleh diarahkan membayar denda kepada kerajaan dengan kadar nilai 10 kali ganda nilai rampasan,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 9:46pm
d