mutakhir

Pekerja asing terkedu diserbu

Oleh Farah Suhaidah Othman

TUJUH puluh enam pekerja lelaki warga Bangladesh dipercayai digajikan tanpa permit sah ditahan dalam serbuan di empat lokasi berasingan di Klian Intan, Pengkalan Hulu hari ini.

Serbuan 35 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Perak bermula 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi tadi menahan warga asing itu yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 63 tahun bagi membantu siasatan.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu empat lokasi iaitu di kuarters perumahan guru, dua banglo dan kawasan perlombongan bijih timah.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati syarikat perlombongan bijih timah itu sudah beroperasi sejak 49 tahun lalu.

“Syarikat itu disyaki menggaji semua pekerja asing yang ditahan tanpa pas sah.

“Siasatan turut mendapati kuarters guru dan dua banglo yang diserbu disewa untuk dijadikan kediaman semua pekerja berkenaan,” katanya.

Kamalludin berkata, ketika serbuan ada antara pekerja asing itu melarikan diri namun dapat dihalang pegawai imigresen selepas membuat kepungan di empat lokasi berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati semua pekerja itu melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan.

“Mereka turut ditahan melakukan kesalahan 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa dan semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 10:24pm
d