mutakhir

Bahasa Melayu boleh jadi bahasa kedua dalam ASEAN

Oleh BERNAMA

ADALAH tidak mustahil Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua yang digunakan dalam perbincangan isu antarabangsa dalam ASEAN di samping bahasa Inggeris, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, negara yang menganggotai Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) boleh menjadi penggerak ke arah usaha itu.

Mengambil contoh Kesatuan Eropah yang menggunakan 26 bahasa dalam urusan pentadbirannya, Saifuddin berkata, penggunaan pelbagai bahasa dalam urusan kesatuan serantau bukanlah perkara luar biasa.

“Jadi kalau ASEAN tambah satu lagi Bahasa Melayu ia tidak mustahil, jadi negara anggota MABBIM yang boleh menggerakkannya,” katanya pada majlis makan malam bagi meraikan perwakilan Sidang ke-58 MABBIM di Wisma Putra hari ini.

MABBIM ialah sebuah majlis yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan Bahasa Melayu/lndonesia di rantau ini yang dianggotai oleh tiga negara iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Menurut Saifuddin, kerajaan Indonesia juga membuat pendirian untuk mengusulkan Bahasa Melayu Indonesia menjadi satu daripada bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2045.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, resipi keamanan dunia Melayu perlu dipromosi kepada dunia luar dalam usaha menangani terorisme dan memupuk kesefahaman antara agama.

Beliau berkata, keamanan dunia Melayu yang terdiri daripada empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura adalah antara produk hubungan antarabangsa yang boleh memberi impak sangat besar kepada keamanan sejagat.

“Di sini dalam dunia Melayu terkumpul semua agama dan di sinilah tempat yang paling sesuai untuk membidas kenyataan Samuel P Huntington ‘The Clash of Civilisations’ yang tidak berlaku di dunia Melayu.

“Di sinilah antara sumbangan dunia Melayu yang orang tidak begitu mengenalinya dan saya fikir kita harus mempromosinya,” katanya.

Bertemakan “Bahasa Melayu/Indonesia sebagai Bahasa Utama Dunia,” persidangan MABBIM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berlangsung di Kuala Lumpur dari 8 hingga 13 April.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 12:06am
d