mutakhir

Berdebar misi daki Gunung Kinabalu kali kelima

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BIARPUN sudah empat kali menawan puncak Gunung Kinabalu, perasaan gemuruh dan bimbang dalam menjayakan Misi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu dè Kinabalu Peak 2019 tetap dirasai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu itu dijangka akan mengibarkan bendera MAKSAK Terengganu di puncak Gunung Kinabalu pada pagi 12 April 2019.

Che Adam berkata, pengalaman empat kali menawan puncak Kinabalu bukan jaminan kepadanya untuk mudah berbuat demikian buat kali kelima.

“Empat kali saya menawan puncak itu secara ekspedisi, tetapi kali ini saya menjalani pendakian solo semestinya bakal menghadapi cabaran berbeza.

“Bagaimanapun hasil latihan keras sejak awal tahun lalu, saya berkeyakinan untuk menjayakan misi dipertanggungjawabkan untuk saya ini,” katanya.

Menurutnya, pada misi itu dia akan kibarkan Panji MAKSAK Terengganu di puncak Gunung Kinabalu, sekali gus mencatat sejarah tersendiri sebagai pegawai kanan jabatan atau agensi kerajaan melakukan Misi MAKSAK.

“Saya berasa terharu apabila bakal menjadi pegawai kanan jabatan pertama menjayakan misi ini sesuai dengan seruan kerajaan negeri.

“Selain Panji MAKSAK, saya membawa bendera Terengganu Maju Berkat Sejahtera, sebagai simbolik bakal menyambut setahun pentadbiran Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu dan bendera APM bersempena ulang tahun Pertahanan Malaysia ke-67,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab meluangkan masa bertemu dan memberikan semangat kepada Che Adam seterusnya menyempurnakan pelepasan Misi MAKSAK Terengganu dè Kinabalu Peak 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA2), semalam.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 1:52am
d