mutakhir

Sembang gay bersepah

Oleh Amir Abd Hamid

PELBAGAI aplikasi sembang sosial golongan gay didapati bersepah dan mudah dimuat turun menerusi aplikasi telefon pintar.

Senario itu menjadi kebimbangan akan menyebabkan generasi muda negara terjebak dengan kegiatan tidak bermoral, sekali gus merosakkan kerukunan hidup bertamadun.

Lebih 10 aplikasi sembang sosial mengajak ke neraka itu menggunakan pelbagai nama boleh ditemui dengan mudah.

Pemerhatian Harian Metro mendapati kandungan aplikasi mudah dimuat turun secara percuma itu mengandungi gambar dan video tidak senonoh.

Pengguna juga boleh mengikuti sembang jijik hingga menjurus kepada melakukan hubungan seks songsang meloyakan antara lelaki bersama lelaki yang dilaknat Allah SWT dan jelas tidak dapat diterima dalam mana-mana agama.

Selain itu, kemudahan teknologi moden sembang sosial digunakan sebagai platform pemasaran bagi golongan gay menjual tubuh kepada pelanggan berpotensi.

Persoalannya, tiada sekatan umur kepada sesiapa saja termasuk kanak-kanak untuk memasuki atau mencuba aplikasi itu yang tentunya berisiko mengundang kerosakan moral dan minda mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Eddin Syazlee Shith ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Secara amnya, laporan disampaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikaji terlebih dahulu sama ada tertakluk mengikut bidang kuasa SKMM untuk membolehkan siasatan dimulakan.

“Untuk makluman, budaya hubungan songsang atau hubungan luar tabii adalah menjadi kesalahan mengikut Kanun Keseksaan (KK) tertakluk bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“KKMM menerusi SKMM sedia membantu sekiranya diperlukan seperti menyekat akses kepada laman sesawang. SKMM boleh mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 211 dan 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 terhadap individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak yang terbabit juga boleh didakwa mengikut undang-undang negara yang lain termasuk enakmen Syariah Negeri.

“Pada ketika ini, kerajaan tidak bercadang menyekat akses secara keseluruhan terhadap sesuatu platform atau aplikasi am yang boleh digunakan orang ramai untuk pelbagai tujuan, termasuk untuk berkongsi maklumat.

“Namun demikian, sekiranya laporan dan aduan awam berhubung dengan pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang bertulis Malaysia oleh mana-mana pihak atau individu menggunakan sesuatu aplikasi, tindakan penguatkuasaan disusuli agensi penguatkuasaan yang berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi teknikal, menyekat akses kepada sesuatu aplikasi tidak sama seperti menyekat akses kepada sesuatu laman sesawang dan tindakan ini memerlukan kerjasama penyedia aplikasi itu.

“Pada masa sama, pengguna Internet atau media sosial boleh secara langsung membuat aduan kepada penyedia platform atau pentadbir laman sesawang untuk membolehkan penyedia platform mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya kandungan diadukan menyalahi peraturan syarat penggunaan platform mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 6:30am
d