mutakhir

Pembantu tadbir DBKL didakwa terima suapan [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMBANTU tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima suapan daripada pengusaha rumah urut, tahun lalu.

Tertuduh, Qairul Redza Mohd Hadzri, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM1,500 daripada seorang individu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas rumah urut di Setapak, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu dilakukan di restoran di Taman Dato Razali, Ampang, kira-kira 10 malam, 28 Mei tahun lalu.

Justeru, tertuduh yang berkhidmat di Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja Unit Penyelenggaraan DBKL melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman menawarkan jaminan tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Qairul Redza yang diwakili peguam Mohd Firdaus Ahmad bagaimanapun merayu pengurangan jaminan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berikutan turut menghadapi lima pertuduhan lain.

Rozilah kemudian membenarkan jaminan tertuduh berjumlah RM5,000 dan kes dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Sebutan semula ditetapkan pada 30 April depan.

Pada 27 Mac lalu, media melaporkan tertuduh bersama empat penjawat awam termasuk Ketua Balai Polis Setapak didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung operasi rumah urut ‘Ops Kotaraya’ tahun lalu dan awal tahun ini.

Selain Qairul Redza, Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan (ASP) Sherman Salleh, 42; empat lagi tertuduh ialah Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 35; anggota bomba, Mohd Fadzli Jamaludin, 48 serta dua penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairil Faezi Mohd Aziz, 32.

Semua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi, Rozina Ayub dan Azman Ahmad.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 12:12pm
d