mutakhir

[UPDATE] 'Itu bukan rumah, itu tempat sampah'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PRESIDEN Persatuan Budak Busstand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud yang dalam perjalanan pulang dari misi mencari peserta larian Gopeng Urban Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, di Gopeng dekat Ipoh, bergegas sebaik menerima maklumat mengenai keadaan kanak-kanak berusia 12 tahun yang terpaksa tinggal bersendirian.

Kanak-kanak yang sudah tidak bersekolah itu ditinggalkan selama dua minggu selepas ibunya dipercayai ditahan susulan masalah penyalahgunaan dadah.

Difahamkan, kanak-kanak itu sendiri menghubungi Amiruddin untuk meminta bantuan.

Amiruddin yang lebih mesra dipanggil Tok Anjang berkata, sebelum ini kenalannya yang juga bapa saudara kanak-kanak terbabit ada menghubunginya meminta bantuan.

“Saya meminta kenalan memberi alamat kanak-kanak itu untuk membantu, namun tidak mendapatnya sebelum terkejut dihubungi seorang kanak-kanak kira-kira 6 petang kelmarin.

“Budak itu memberitahu bapa saudaranya minta hubungi saya, tanpa berlengah saya terus ke Manjoi untuk melihat keadaannya dan ketika sampai saya dapati dia bersama seorang lagi bapa saudaranya yang menetap di Chemor,” katanya.

Menurutnya, bapa saudara kanak-kanak itu memberitahu tidak mampu menjaganya kerana ada keluarga sendiri yang perlu ditanggung.

“Terkejut saya apabila melihat sendiri rumah yang didiami kanak-kanak itu bersendirian yang ternyata tidak sesuai dan tidak selamat didiami kanak-kanak seusianya.

“Itu bukan rumah, tapi tempat sampah yang pastinya berbahaya dengan binatang berbisa dan sebagainya,” katanya.

Amiruddin berkata, dia kemudian mengambil kanak-kanak terbabit dan menempatkannya di Rumah Transit Persatuan Budak Bus Stand Ipoh di Taman Lim, di Ipoh sebelum membawanya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

“Ada pihak yang sanggup mengambil dan menjaga kanak-kanak itu sebagai anak angkat, namun menurut JKM ia memerlukan persetujuan ibu atau saudara terdekat kanak-kanak itu.

“Buat masa ini, kanak-kanak itu ditempatkan di rumah transit kami, JKM pula merancang untuk menempatkan dia di rumah perlindungan dan saya berharap dia dapat kembali bersekolah serta akan melawatnya selalu kelak,” katanya.

Berita berkaitan

'Saya tak pernah nampak ibu hisap dadah'

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 12:15pm
d