mutakhir

'Fun fair tiada lesen rupanya'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN seorang lelaki dan dua pekerjanya menawarkan aktiviti hiburan di tapak pesta ria (fun fair) di Padang Awam Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, tanpa lesen mengundang padah apabila mereka ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu kemudian membuat pemeriksaan di tapak terbabit pada 12.30 tengah malam.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, lelaki berusia 38 tahun mengaku sebagai penganjur pesta ria namun sebaik diminta lesen sah dia gagal mengemukakannya.

“Berikutan itu dia bersama dua pekerja lelaki berusia 32 dan 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita turut merampas 24 ‘token’ digunakan pelanggan untuk bermain permainan yang disediakan di tapak pesta ria itu,” katanya.

Noh berkata, mereka ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kedah 1997,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 12:57pm
d