mutakhir

Alhamdulillah ... gerai dah siap

Oleh Faliq Lajim

SERAMAI 29 peniaga di Bazar Larut Malam Uptown Shah Alam, Seksyen 24, menerima surat serah tapak gerai jualan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) susulan kes kebakaran di premis itu, November tahun lalu.

Peniaga, Herman Shah Mohd Jumasah, 35, bersyukur apabila tapak gerai jualannya diberikan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Kejadian itu mengakibatkan tiga tapak kedai miliknya yang menjual pakaian wanita sejak 2007, musnah dijilat api dengan anggaran kerugian hampir RM100,000.

“Susulan itu, saya dan peniaga lain dipindahkan di bahagian luar dan berniaga di bawah khemah sementara menunggu tapak jualan dibaik pulih.

“Namun, perniagaan di tapak luar itu kurang memberangsangkan. Pendapatan harian tidak sampai RM100 sehari berbanding purata RM400 hingga RM500 sebelum ini.

“Kini, kami bersyukur apabila PKNS berjaya menyiapkan dan memendekkan tempoh baik pulih daripada enam bulan ke empat bulan sebelum Ramadan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tapak Niaga kepada mangsa kebakaran di Uptown itu malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Peniaga pakaian, Faridah Abd Ghafur, 55, gembira melihat tapak di gerai jualannya sudah berubah wajah.

“Saya sudah melawat gerai itu dan melihat keselesaan yang mereka sediakan. Alhamdulillah, ia berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan selepas kebakaran itu.

“Malah, kami bersyukur apabila PKNS mengenakan kadar sewaan RM200 bagi satu tapak berbanding RM300 sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, pihaknya memperuntukkan kos berjumlah RM1.47 juta untuk membina tapak baharu premis yang musnah dan membaik pulih serta menggantikan struktur bangunan.

“Alhamdulilah, semua proses itu berjalan lancar dan siap sepenuhnya pada 2 April lalu.

“Pembinaan semula tapak niaga itu diharap membantu peniaga memulakan perniagaan mereka dengan lebih baik dan bersemangat,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tiga blok membabitkan 32 kedai di tapak lama Uptown Shah Alam di Seksyen 24, Shah Alam, terbakar kira-kira jam 5 pagi, 12 November lalu.

Kebakaran itu mengakibatkan blok pertama dan kedua hangus 100 peratus, manakala blok ketiga terbakar 50 peratus.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 1:14pm
d