mutakhir

Ular menetas dalam tong pam tandas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap menemui empat ekor ular sawa burung yang baru menetas dalam tong pengepam tandas di Perpustakaan Desa Padang Nyiur, dekat Padang Terap, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan 10.50 pagi dari orang awam memaklumkan penemuan ular berkenaan.

Beliau berkata, operasi disertai empat anggota dan selepas diperiksa didapati ular sawa burung itu masih berada dalam tong pengepam tandas berkenaan.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 10 minit kerana sukar menangkap ular disebabkan ruang tong itu agak sempit.

“Kita percaya ular jenis itu mempunyai kumpulan yang banyak dan menjadikan tong pengepam itu sebagai tempat menetas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri berkata, walaupun ular itu tidak mempunyai bisa, namun ia boleh menyebabkan mangsa yang terkena patuknya, demam dan sakit.

Beliau berkata, mereka kemudian menangkap ular itu dan membawanya ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 1:44pm
d