mutakhir

Gunung Kinabalu tapak Geopark Kebangsaan

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Gunung Kinabalu dan sekitarnya membabitkan daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu akan diisytiharkan sebagai tapak Geopark Kebangsaan tahun ini.

Kawasan berkenaan juga akan dimasyhurkan sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun depan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sebagai tambahan, kerajaan juga sedang dalam proses untuk mewartakan kawasan Teluk Darvel di Lahad Datu dan Pulau Mantanani di Kota Belud sebagai kawasan pemuliharaan marin.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa selaras dengan hasrat kerajaan untuk terbabit dalam bidang pemuliharaan alam sekitar semula jadi dan eko pelancongan di peringkat antarabangsa, usaha sedang giat dilaksanakan agar Gunung Kinabalu dan sekitarnya diisytiharkan sebagai tapak Geopark Kebangsaan,” katanya.

Juhar berkata, demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan beriltizam untuk memastikan sektor pelancongan negeri kekal rancak dan berdaya saing dengan memfokuskan keindahan alam semula jadi serta warisan budaya sebagai aset utama pelancongan negeri ini.

Pada tahun ini, katanya, kerajaan negeri mensasarkan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah seramai empat juta orang berbanding 3.8 juta orang pada tahun lalu dengan sasaran ketibaan pelancong antarabangsa lebih seimbang dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan Oceania, selain pelancong domestik.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 2:03pm
d