mutakhir

Pemandu tersepit ayam berterabur

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI parah di kaki akibat tersepit selepas lori kontena dipandu terbabit kemalangan dengan dua kenderaan berat lain di Kilometer 411.4 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Lembah Beringin, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan berlaku 4.25 pagi membabitkan sebuah lori kontena dan dua lori lain masing-masing membawa muatan ayam dan makanan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika lori kontena dipandu Mohd Fazil Ismail, 50, dalam perjalanan dari arah utara ke selatan hilang kawalan lalu melanggar belakang dua lori terbabit berada di lorong kiri sebelum terbabas ke lorong kanan.

“Kemalangan mengakibatkan pemandu lori kontena berkenaan tersepit dan parah di kaki, dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu dua pemandu lori membawa muatan ayam dan makanan hanya cedera ringan,” katanya.

Lim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 2:26pm
d