mutakhir

Melecur selamatkan barang kemas

Oleh Siti Rohana Idris

DUA beranak melecur dalam kebakaran rumah di Kampung Pulau Kapas, Panji, Kota Bharu, pagi tadi.

Dalam kebakaran 2.30 pagi, Zamri Zakaria, 57, melecur di tangan dan kepala sementara itu ibunya, Hasnah Yusof, 76, mengalami kecederaan sama di bahu, siku kiri serta belakang.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu Zamri berkata, terdahulu dia yang sedang tidur terdengar jeritan ibunya yang tinggal di belakang kediamannya meminta tolong.

“Sebaik mendengar jeritan ibu mengatakan ada api, saya berlari ke rumahnya, tapi pintu depan ketika itu berkunci.

“Jadi saya tendang pintu, tapi tidak dapat masuk kerana asap tebal dan api sedang marak. Kemudian saya menjerit menyuruh ibu membuka pintu dapur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zamri berkata, sebaik masuk ke dalam rumah, dia mengarahkan ibunya keluar untuk menyelamatkan.

Menurutnya dia kemudian mengambil sebaldi air untuk memadamkan kebakaran namun gagal.

“Tidak lama kemudian, isteri memberitahu saya bahawa ibu tidak kelihatan sekitar perkarangan rumah, rupa-rupanya dia masuk semula ke dalam rumahnya untuk mengambil beg mengandungi barang kemas, wang dan dokumen penting.

“Risau keselamatan ibu saya cuba masuk semula ke dalam rumah tapi gagal kerana api sudah marak.

“Saya yang cemas berasa amat lega apabila ahli keluarga memaklumkan ibu berjaya menyelamatkan diri bersama barangan peribadinya,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.41 pagi.

Katanya, operasi membabitkan 16 anggota dari BBP Kota Bharu dan tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Api berjaya dikawal 3.05 pagi, punca sebenar menyebabkan kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 3:33pm
d