mutakhir

Rindu senyuman Harraz

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA rindukan senyumannya,” kata Muhd Hafez Mohamed, 32, berkongsi memori menjaga anak lelakinya, Allahyarham Harraz, empat bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu, petang kelmarin.

Pekerja sebuah syarikat swasta di Tampoi itu berkata, empat bulan anak itu dipinjamkan Allah sudah cukup membuatkan hatinya dan isteri terhibur apatah lagi sifat semula jadinya yang suka tersenyum.

“Dia suka senyum dan cukup murah dengan senyuman, sampaikan ramai tidak percaya karektor itu ada pada bayi sepertinya.

“Bila terkenangkan senyumannya saya akan sedih meskipun baru beberapa hari kehilangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kehilangan Harraz turut dirasai isteri dan anak sulungnya, Alesha, 2.

“Setiap hari selepas pulang dari rumah pengasuhnya, anak sulung kami akan mengusap kepala adik lelakinya dan ia menjadi rutin biasa ketika isteri mengambil mereka.

“Paling menyentuh perasaan, Alesha menangis malam tadi sebaik melihat wajah adiknya yang sudah berkain kafan,” katanya.

Katanya, isterinya masih bersedih dan emosi belum stabil dengan kejadian menimpa anak mereka.

“Dia yang menghantar dan mengambil anak dari rumah pengasuh kerana dia pulang dulu pada jam 6.30 petang, manakala saya lewat sejam dan tidak dapat berbuat demikian.

“Nak balik rumah sekalipun dia tidak mahu, apatah lagi melihat pakaian dan mainan Harraz menyebabkan isteri sedih dan menangis.

“Dia akan peluk selimut Harraz dan menciumnya dan sebab itu dia tidak mampu pulang ke rumah,” katanya.

Muhd Hafez berkata, mereka sekeluarga selamat tiba di kampung isterinya di Permatang Badak, Kuantan, Pahang pada jam 9 malam tadi.

“Perjalanan kami bermula jam 4 petang semalam dari Johor Bahru ke kampung mengambil masa kira-kira lima jam.

“Sebaik tiba, jenazah disembahyangkan di Masjid Permatang Badak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Rangin, Kuantan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan diuruskan keluarga isteri, selain dihadiri saudara mara dan penduduk kampung malam tadi,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Katanya, di sebalik kes menimpa arwah anaknya itu, jauh di sudut hatinya mahu supaya kes itu mendapat keadilan sewajarnya bukan untuk arwah anaknya saja tetapi anak-anak lain.

Terdahulu, bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuh di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, kelmarin.

Berikutan itu polis mengklasifikasikan kes sebagai mendatangkan kematian secara cuai.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Kurta Makkah arwah

[UPDATE] Pengasuh bayi maut tersedak susu ditahan

'Terdetik anak sudah tiada' [METROTV]

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 3:50pm
d