mutakhir

Dipukul lima lelaki

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BESAR kepala dan tidak hormat undang-undang negara. Itu tindakan sekumpulan enam lelaki warga Nepal yang bergaduh dan merusuh menggunakan kayu.

Susulan perbuatan ke atas seorang lelaki senegara mereka, empat daripada suspek ditahan di Jalan Persiaran Indahpura, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, semua suspek berusia antara 23 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan anggotanya pada jam 3.30 petang susulan laporan polis.

Beliau berkata, insiden rusuhan itu berlaku Isnin lalu apabila seorang mangsa warga Nepal mendakwa dipukul lima lelaki pada jam 1.21 pagi.

“Mangsa ketika itu dikatakan dalam perjalanan bertemu rakannya di kawasan Perindustrian Kulai 2.

“Susulan itu, dua suspek lelaki Nepal berusia 31 dan 32 tahun ditahan jam 6.30 petang di Jalan Persiaran Indahpura Selasa lalu, diikuti empat suspek yang ditahan semalam.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan seramai enam orang. Hasil soal siasat, semua suspek mengaku terbabit dalam insiden itu dan kini mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 4:07pm
d