mutakhir

NGPC perkasakan APMM

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima tiga lagi Kapal Peronda Generasi Baru (NGPC) dan tiga kapal Peronda Luar Pantai (OPV) tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perolehan itu penting berikutan aset dimiliki APMM pada masa kini adalah berdasarkan pemindahan daripada agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, disebabkan itu sebahagian aset berkenaan sudah berusia dan usang serta perlu diganti.

“Kerajaan sedar isu dihadapi APMM dan sedang dalam proses mengganti, membaiki serta menambah baik aset agensi penguat kuasa ini.

“Justeru, selain tiga NGPC sudah diperoleh, APMM kini masih menunggu enam lagi aset baru membabitkan masing-masing tiga NGPC dan OPV buatan tempatan,” katanya pada sidang media ketika lawatan kerja di Stesen Udara APMM Subang, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Beliau, memaklumkan APMM berhasrat untuk memiliki kapal induk atau ‘mothership’ dan KDN akan memberi perhatian berhubung perkara itu.

“Saya dimaklumkan bahawa APMM sudah mempunyai pelan perancangan strategiknya sendiri yang dinamakan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia.

“Harapan saya agar pelan itu nanti mampu membangunkan modal insan dan infrastruktur APMM ke tahap tertinggi sebaris dengan agensi penguatkuasaan maritim di Asia Pasifik khususnya dan dunia, amnya,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain isu aset, KDN turut berbincang dengan APMM mengenai soal pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing dan isu orang hanyut membabitkan etnik Rohingnya.

“KDN sudah mengarahkan agensi penguat kuasa termasuk APMM supaya tidak berkompromi dan terus mengambil tindakan penguatkuasaan dalam melindungi keselamatan negara daripada sebarang pencerobohan,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 4:50pm
d