mutakhir

Kutip derma guna logo JKM

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menggesa badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta derma daripada orang ramai supaya menarik balik logo jabatan itu dari surat mereka.

Pengarahnya, Said Sidup berkata, JKM tidak pernah bekerjasama dengan NGO itu untuk membuat kutipan derma.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap NGO itu kerana menggunakan logo jabatan tanpa izin untuk minta derma daripada orang awam.

“Kita tidak pernah menyokong dan bekerjasama dengan NGO terbabit dalam aktiviti mengumpul sumbangan zakat daripada orang awam.

“Niat mereka memang mulia, namun cara menggunakan logo kami tidak betul kerana tanpa izin. Kami tidak tahu apa niat sebenar mereka,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, sebuah NGO meminta derma daripada orang awam menggunakan logo dua pihak berkuasa di Kelantan tanpa mendapatkan kebenaran mereka.

NGO terbabit yang membantu orang kurang upaya (OKU) di negeri ini dipercayai menghantar surat kepada orang ramai dengan meminta derma zakat menggunakan logo Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan JKM.

Menurut sumber, NGO dari Jalan Kuala Krai di sini, itu sudah mengumpul antara RM200 hingga RM400 daripada kutipan derma berkenaan.

“NGO itu mendakwa wang berkenaan akan digunakan untuk program OKU yang dijadualkan pada 2 Jun nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 5:16pm
d