mutakhir

ATB 2 tahan lima lelaki bersenjata

Oleh Abdul Rahemang Taiming

ANGKATAN Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan lima lelaki bersenjata ketika menyusup masuk ke kawasan perairan Malaysia di Semporna hari ini.

Kumpulan itu yang menaiki bot laju dari kawasan perairan Sitangkai, Filipina dikesan radar pasukan keselamatan ketika menyusup masuk ke kawasan perairan Pulau Mataking 9.45 pagi.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin berkata, susulan itu sepasukan anggota Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8 RRD (PARA) diketuai Sarjan Salleh Zakaria digerakkan ke lokasi untuk memintas bot terbabit.

“Sebaik dipintas, kita dapati lima lelaki berusia antara 28 hingga 45 tahun serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua senjata api iaitu masing-masing sepucuk pistol bersama 18 butir peluru .9mm dan sebilah senapang (shortgun) dan 33 butir peluru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tujuan suspek menyusup masuk ke kawasan perairan Malaysia untuk melakukan kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

“Semua suspek ditahan dan senjata api dirampas serta diletakkan dalam kawalan rapi.

“Bot bersama barang yang ditahan dibawa ke Pulau Mataking sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 5:47pm
d