mutakhir

Yusuf al-Qardhawi sambut baik 'Deklarasi Putrajaya'

Oleh Idris Musa

TOKOH ulama Mesir, Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi menerima baik ‘Deklarasi Putrajaya’ yang mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Inter Parliamentary Union (IPU) di Doha, Qatar.

“Saya berkesempatan mengadakan kunjungan hormat dan menziarahi Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi semasa menghadiri Sidang IPU, untuk menyampaikan Deklarasi Putrajaya dari Malaysia kepada beliau.

“Beliau menerima baik Deklarasi Putrajaya dan menyatakan betapa pentingnya negara Islam bersatu hati menghadapi musuh yang memecahkan perpaduan umat Islam.

“Sheikh juga melahirkan kesedihan beliau atas kekacauan di negara Islam di Timur Tengah dan Afrika selepas membaca Deklarasi Putrajaya dan setelah mendengar taklimat ringkas ehwal dunia terkini daripada pegawai penyelidik beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Deklarasi dan Pelan Tindakan Putrajaya: Bersatu Untuk Membebaskan Baltulmaqdis dan Masjidil Aqsa dibuat dalam Persidangan NGO ASEAN Plus Mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa, 24 Mac lalu.

Ia menggariskan 11 deklarasi, antara lain menegaskan Baitulmaqdis adalah ibu kota Palestin dan sebarang langkah untuk menukar status itu tidak boleh diterima sama sekali.

Raja Kamarul berkata, apa yang penting hari ini adalah umat Islam seluruh dunia memberikan komitmen untuk bersatu.

“Segala penetapan serta resolusi pertubuhan Islam akan sia-sia tanpa solidariti dan perpaduan jitu negara Islam dan umat Islam seluruh dunia,” katanya.

Sidang IPU ke-140 yang berlangsung dari 6 hingga 10 April itu dihadiri 2,200 peserta dari 161 negara, antara persidangan terbesar pernah diadakan di rantau teluk.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 6:09pm
d