mutakhir

Tangguh bulan madu demi STORM

Oleh Baharom Bakar

PEGAWAI Bomba (PB), Nurfatin Nadia Jamain dan Melisa Canda Anak Jawan melakar sejarah apabila muncul wanita pertama di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditauliahkan sebagai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Pentauliahan lencana STORM itu membolehkan mereka menyertai unit elit yang sejak ditubuhkan kira-kira lapan tahun lalu yang didominasi anggota serta pegawai bomba lelaki.

Nurfatin Nadia, 24, dari Beaufort, Sabah kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, manakala Melisa, 26, dari Sibu, Sarawak, berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.

Nurfatin Nadia dan Melisa adalah antara 39 anggota serta pegawai bomba yang mendapat pentauliahan sebagai anggota STORM selepas berjaya mengharungi latihan lasak sepanjang menyertai kursus selama dua minggu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai, Marang.

Majlis penutupan kursus khas dan pemakaian lencana STORM disempurnakan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Melisa ketika ditemui berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Anthony Ging, 43, Jun tahun lalu demi mengejar cita-cita untuk menjadi anggota STORM.

“Dorongan suami yang kini bertugas sebagai pegawai di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Ruam, Raub, Pahang, serta keluarga juga dijadikan azimat untuk menguatkan semangat sepanjang menyertai latihan.

“Kekuatan mental dan fizikal serta semangat setia kawan bersama pelatih lelaki sepanjang menjalani latihan selama 14 hari antara cabaran terpaksa ditempuhi, termasuk latihan ikhtiar hidup dalam hutan dan paya.

“Meskipun terpaksa bersaing dengan 423 pelatih lelaki sepanjang menjalani latihan dan terpaksa berkorban termasuk menangguhkan hasrat berbulan madu dan berjauhan dengan suami.

“Tetapi lencana STORM dilekatkan pada bahu kanan membuktikan kaum hawa juga mampu melaksanakan tugas yang sebelum ini digalas kaum lelaki,” katanya.

Bagi Nurfatin Nadia, walaupun ramai yang beranggapan tidak mudah untuk anggota wanita menyertai pasukan STORM, tetapi berkat kerjasama semua termasuk pelatih lelaki, akhirnya dia dan Melisa membuktikan tanggungjawab yang selama ini terpaksa digalas lelaki, mampu dilakukan kaum hawa.

“Memang mencabar apabila setiap calon adalah berlari ulang-alik sejauh 10 meter dan 2.4 kilometer serta perlu mendapat markah lulus minimum C+18 mengikut skim pemarkahan ditetapkan.

“Persediaan mental dan fizikal serta semangat bekerjasama perlu diterapkan sepanjang menjalani latihan, alhamdulillah impian saya menjadi anggota pasukan STORM selepas berjaya menjalani latihan lasak dimakbulkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 7:38pm
d