mutakhir

'Mobile Food Bank' sangat membantu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“PROGRAM ini amat membantu, walaupun pada sesetengah orang ia mungkin hanya makanan ringan, tapi ia sudah cukup bagi kami.

“Sebelum ini kami pernah menerima sumbangan daripada Kechara Soup Kitchen dan Komugi Mid Valley, kali ini daripada Mobile Food Bank, terima kasih kerana membantu,” kata Abdul Rahman Ali Akbar Mustika.

Penuntut Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) berusia 22 tahun itu berkata, tiada isu makanan yang diberikan adalah makanan ringan atau sebaliknya kerana ia sudah cukup untuk mereka mengalas perut.

Katanya, rata-rata penuntut memang tidak mempunyai wang yang banyak untuk berbelanja mewah menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut sebelum ini.

“Kalau ikutkan, kami ada 52 penerima yang pernah menerima sumbangan sebelum ini.

“Jadi memang rasa bertuah kerana ada pihak sudi membantu,” katanya yang menerima sumbangan dari Suara Komuniti BH - Mobile Food Bank di UM, hari ini.

Sebanyak 250 pek makanan yang disumbangkan Mydin Holding Berhad, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Ahli Jawatankuasa UM Campus Food Bank dan Briged Sukarelawan MPB-NSTP dalam program yang memasuki siri kedua itu.

Ia disampaikan Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Berhad Wan Abdillah Wan Nawi.

Antara penerima adalah penuntut dari Kolej Kediaman Ibnu Sina, Kolej Kediaman Tunku Bahiyah, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin dan Kolej Kediaman Bistari, Universiti Malaya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya terpanggil untuk bersama-sama membantu meringankan kos perbelanjaan penuntut yang kurang berkemampuan di universiti itu.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu golongan memerlukan terutama penuntut yang tidak mempunyai punca pendapatan.

“Harapan kami di Mydin, dengan sedikit sumbangan ini, dapat meringankan beban penuntut, sekali gus membantu mereka lebih fokus dalam pelajaran,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 8:00pm
d